KATA ALUAN



DARI MEJA TUAN PENGETUA

Assalamualaikum wt. wb.  dan selamat sejahtera.
Tarikh 2 Januari 2012 genap setahun SMK Taman Nusa Damai (STaND) dioperasikan. Tahun 2011 STaND telah melahirkan calon-calon sulung PMR (98 orang) dan SPM (33 orang). Mudah-mudahan pencapaian mereka menjadi titik tolak kegemilangan sekolah dalam akademik seperti yang diharapakn oleh mantan Pengetua.

Bagi tahun 2012 ini, STaND akan dioperasikan dengan dua sesi, pagi dan petang kerana pertambahan bilangan murid yang besar. Ini akan diikuti dengan pertambahan bilangan guru-guru dan staf sokongan.  Peningkatan ahli  keluarga ini memerlukan lebih banyak komitmen, kerjasama dan pengorbanan semua warga STaND dalam semua aspek.

Untuk memantapkan halatuju dan sasaran  kecemerlangan STaND,  tidak tergelincir dari landasan, diharapkan semua warga STaND mendokong, menghayati dan menterjemahkan cogan kata STaND  “INOVATIF-DINAMIK” dalam amalan pekerjaan seharian sama ada di dalam proses pembelajaran dan pengajaran mahu  pun semua tugas-tugas lain yang diamanahkan.

Justeru itu, seluruh warga  STaND harus menggagahkan usaha, berinovatif dan sentiasa dinamik, untuk mempastikan STaND mampu mencapai  kualiti Pengurusan Kewangan Terbaik, anugerah “Baiah Baru (New Deal)” dan Sekolah Kluster Kecemerlangan dalam tempoh dua tahun dari sekarang (2012 -2013). Seterusnya mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada tahun 2015. Semua ini hanya akan dapat digapai sekiranya pencapaian peperiksaan awam PMR dan SPM sehingga tahun 2015 sentiasa berada pada 100% lulus dan GPS PMR mampu mencapai  1.50 dan GPS SPM pada 2.20.

Semua sasaran di atas tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua warga STaND bersama-sama menggembeling usaha dan tenaga merealisasikan penjenamaan STaND sejak penubuhannya, yang membawa semangat “STaND TOGETHER, STaND TALL” – “SAMA GEMILANG, SAMA TERBILANG”.

Menurut Fred M. Hechinger (1989), pengarang akhbar New York Time, tidak pernah  ada sekolah yang cemerlang dipimpin oleh orang yang lemah. Tidak ada sekolah yang lemah dipimpin oleh pemimpin yang cemerlang. Tetapi ada sekolah yang lemah melonjak dengan cemerlang kerana dipimpin oleh pemimpin yang cemerlang. Berdasarkan fakta ini,  marilah kita, seluruh warga STaND, sama-sama menjadi pemimpin yang cemerlang dan sama-sama memimpin untuk menjadikan STaND  “SAMA GEMILANG, SAMA TERBILANG”.